Sunday, November 2, 2008

Nuhaa dah sampai Kuantan

Alhamdulillah...Kami sekeluarga dah tiba di Kuantan. Mesti Atuk & Mak Tok rindu kat Nuhaa. Insya-Allah kalau takde aral melintang..Raya Haji nanti kami akan beraya kat kampung.













Monday, October 20, 2008

RASUAH YANG PARAH - RAKYAT JADI MARAH!!!

Artikel di bawah ni aku ambil dari http://anisyusoff.wordpress.com/. Saudara Anis ni kalau tak salah teman beliau merupakan Direktor Sektor Politik di Malaysian Institute of Integrity. Beliau setakat ini telah menerbitkan 4 buah buku, “Book of Green Books”, "From Roots to Fruits: producing seeds of integrity”, “Integriti Politi di Malaysia: kearah kefahaman yang lebih sempurna” dan "Politik: isu-isu integriti 2000-2008”. Kini dalam proses menulis sebuah lagi buku...“Malaysia for all”.

Teruk sangat ke RASUAH di Malaysia ni....baca dulu yek..

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


1. Saya berada di Bangkok sejak hari Ahad yang lalu. Membaca berita tanah air dari luar negara selalunya lebih menarik kerana ada perkara-perkara yang tidak dapat kita baca di Malaysia dapat dibaca di sini. Oleh kerana kesibukan tugas, saya tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog saya dengan berita terbaru.

2. Sebenarnya saya mempunyai terlalu banyak perkara untuk dituliskan tetapi fikiran saya menjadi buntu melihat perkembangan mutakhir di tanah air dan disekitar dunia. Seperti yang saya pernah nyatakan dulu, selalunya bila saya ingin mendapat update tertentu tentang Malaysia, ada beberapa portal dan website akan saya lawati. Untuk mendapat tahap ’cuaca’ negara pula selalunya blog debatrakyat di blogspot menjadi pilihan saya.

3. Bila membaca pandangan-pandangan ’Yang Berblog’ gelaran YB utk mereka yang disenaraikan disitu, saya menjadi bertambah buntu dan keliru. Dari cerita Shahrukh Khan yang dianugerah gelaran Datuk, cerita-cerita rasuah politik dalam pemilihan cawangan dan bahagian UMNO sehinggalah kepada perkara-perkara peribadi yang ditulis oleh dua tiga YB di situ.

4. Menurut tulisan Zubaidah Abu Bakar dalam New Sunday Times 2 Oktober yang lalu, beliau menganggarkan hampir RM 250 juta sudah dibelanjakan sehingga kini oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk memancing undi. Jumlah ini adalah anggaran berdasarkan kepada perkiraan kalau seseorang berhajat untuk bertanding jawatan ketua bahagian maka beliau terpaksa membelanjakan antara RM 2 ke 3 juta dan mungkin diconggakkan dengan jumlah bahagian yang sudah bermesyuarat. Tetapi kalau kita menggunakan jumlah ini sebagai asas perkiraan dan kalau setiap yang ingin bertanding membelanjakan sejumlah itu (ambillah purata 2 juta dan katalah setiap bahagian ada pertandingan untuk jawatan Ketua Bahagian, maka RM 2 juta kali 2 orang yang ingin merebut jawatan tersebut dan kali 191 Bahagian UMNO. Ini sahaja sudah berjumlah RM 764 juta. Ini belum dikira lagi berapa pula yang dibelanjakan untuk merebut jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di peringkat Bahagian?

5. Semalam saya dimaklumkan BPR Pahang sudah mula menyiasat laporan rasuah politik dari mesyuarat peringkat cawangan UMNO. Berapa pula gamaknya yang ditaburkan untuk merebut jawatan Ketua-ketua Cawangan? Adakah separuh dari yang dibelanjakan diperingkat Bahagian, atau suku atau satu persepuluh. Bagaimana dengan jawatan-jawatan lain? Jawatan timbalan, naib, AJK, perwakilan….apakah gamaknya harga yang perlu dibelanjakan oleh orang-orang politik ini untuk merebut jawatan-jawatan ini? Atau adakah harga untuk mereka sudah dimasukkan dalam akaun ketua bahagian yang mahu mereka berkhidmat dibawah pimpinan beliau. Ini sudah seperti harga pakej yang diterima oleh ahli-ahli bahagian.

6. Bunyinya teruk benar….tetapi benarkan keadaan rasuah politik dalam UMNO itu sudah begitu tenat. Sedarkah ahli-ahli parti UMNO ini tentang impak dari rasuah kepada parti mereka? Kalau tulisan Zubaidah Abu Bakar dalam NST 2 Oktober itu boleh dijadikan asas dan berdasarkan kepada perkiraan saya diperenggan 4, sejumlah RM 764 juta dibelanjakan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian sahaja. Secara logiknya setelah kita congak-congak balik dan tolak beberapa Ketua Bahagian yang kita tahu mempunyai integriti tinggi yang sukar untuk kita percaya kalau mereka ini pun membeli undi….dalam hal ini kita bersangka baiklah dengan mereka ini, maka saya anggarkan mungkin RM 500 juta dilanjakan diperingkat ketua bahagian. Mungkin separuh dari itu dibelanjakan untuk merebut 3 lagi jawatan Ketua sayap UMNO, wanita, pemuda dan puteri, kita kembali hampir kepada jumlah yang saya congak diawal tadi Cuma kali ini jumlah sebenarnya adalah RM 750 juta.

7. Katalah tulisan Zubaidah Abu Bakar tidak berasas langsung….tetapi hairan juga saya bagaimana NST boleh menyiarkannya. Katalah itu hanya spekulasi wartawan ini, tetapi beliau pastinya mempunyai sumber-sumber yang boleh dipercayai. Kalau tidak sudah pasti ahli UMNO akan menyaman Zubaidah, setidak-tidaknya pun akan ada yang membuat laporan polis. Saya harap Zubaidah tidak akan ditangkap dibawah ISA dengan alasan untuk menjaga keselamatan diri beliau ;-) Kalau tidak berlaku semua yang saya ramalkan ini maka ada kebenaran kepada apa yang beliau tulis, maka kita bolehlah membuat andaian berdasarkan kepada jumlah yang beliau berikan. Secara kasarnya, kalau dicampur perbelanjaan yang berbentuk rasuah politik, tidak kira samada yang berbentuk wang tunai, mahupun hadiah yang disebut dalam buku Tataetika Ahli UMNO sebagai ”balasan” yang merangkumi saham-saham, konsesi, hadiah pakej, makanan/jamuan, tambang, gelaran/anugerah, kontrak, dan hiburan, jumlahnya mungkin mencecah berbillion. Kalau peringkat bahagian sudah mencecah berbillion, apakah pula perbelanjaan untuk menjadi ahli MKT, Naib-naib Presiden, dan lain-lain di Pemuda, Wanita dan Puteri pusat? Berdasarkan satu kes dimana seorang Naib Presiden UMNO yang didapati bersalah empat tahun lalu maka tidak salah untuk mana-mana rakyat ini memandang serong kepada mana-mana pemimpin UMNO waima yang alim dan warak sekali pun.

8. Secara sinisnya lagi, Amerika Syarikat sepatutnya meminta bantuan dari perasuah politik dalam UMNO untuk membuat ”bail-out” kepada Bank-bank mereka disana dalam usaha mereka untuk menangani ’Global Financial Crisis’ yang melanda dunia sekarang kerana duit-duit dalam bank-bank semua berada dirumah ahli-ahli UMNO yang terlibat dengan rasuah.

9. Dalam kajian saya kalau 100 juta dollar dapat kita ’recover’ dan dipulangkan kepada mana-mana negara yang sedang membangun, jumlah wang sebanyak itu dapat membuat perkara-perkara dibawah:

*10 million pesticide-treated mosquito-nets could be provided
*600,000 people leaving with HIV/AIDS could receive treatment
*100 million malaria-treatment kits could be purchased
*4 million children could receive full immunization
*250,000 households could be provided with water connections
*240 kilometres of two-line paved road could be built.

10. Dalam Mukadimah buku tataetika untuk ahli UMNO, ada ditulis disitu “Bahawasanya bagi memelihara kekuatan dan maruah UMNO daripada sebarang anasir salahlaku dan kemungkaran; …bagi menguatkan keazaman memperjuangkan martabat dan maruah bangsa melalui wadah UMNO dengan terus memperkukuhkan dan memberikan semangat perjuangan menentang Rasuah /sogokan politik; ……mentaati perlembagaan dan peraturan UMNO sepenuhnya, bagi membanteras segala bentuk penyelewengan , salahlaku, penyalahgunaan kuasa dan penggunaan wang serta gejala negatif yang boleh meluntur dan melemahkan UMNO; …”



;”>Dalam melaksanakan agenda reform, baik dalam badan kehakiman mahupun dalam Biro Pencegah Rasuah, YAB Perdana Menteri patut melihat bagaimana skandal-skandal yang digembar-gemburkan oleh orang ramai dan media juga boleh dijadikan sebagai ‘opportunities’:

“Reform is like a flower in a pasture. It will grow when it receives the nurturing rainfall provided by a stable democracy and the warm sunshine of transparency, but perhaps it grows best when it is fertilized by the occasional droppings of abuse and scandal.”

copyright of http://anisyusoff.wordpress.com/

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Wednesday, October 15, 2008

Puteri kami ... Nuhaa Adlina




Syukur.....setelah lama kami menunggu akhirnya doa kami diperkenankan oleh Allah. Pada tanggal 10/10/2008 lahirlah penyeri hidup kami di Ipoh Specialist Hospital yang kemudian diberi nama Nuhaa Adlina.

Nuhaa maksud dia Bijaksana / cerdik
Adlina bermaksud Keadilan kita

mudah-mudahan dia akan bawa nama yang kami pilih ni sebaik mungkin.

Pengalaman jaga Nuhaa ni...rasanya ok...Nuhaa pun tak banyak meragam lagi.....Dia isap susu badan dan aku invest dalam RM360 utk beli breast pump electric jenama speCtra3...berbaloi le beli pump ni, senyap je..... Bila dia terjaga tengah malam tu....check dulu lampin dia.....kalau basah / berak kasi tukar dulu...baru bagi susu....bila dah kenyang...sambung tido..

Kami nak ambil kesempatan ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada doktor-doktor di Ipoh Specialist (Dr. Nagara, Dr. Teoh, Dr. Adlan, Dr Adelene, Dr. Zakaria) yang telah memberikan khidmat secara cekap dan professional. Tidak lupa juga kepada kakitangan dan jururawat di Wad 1, ISH di atas jagaan, tunjuk ajar, kesabaran dan macam-macam lagi le sepanjang sepuluh hari 'menginap' di Wad 103. Jasa kalian tidak akan kami lupakan.

lagi gambo dan cerita dalam site nih http://imranulkhalisalhuffaz.blogspot.com/2008/10/kelahiran-nuhaa-adlina-10102008.html

Friday, May 9, 2008

Abah.

26 April 2008 lebih kurang jam 3.25 petang, Abah telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Ipoh, Perak.

Aku tiba di Hospital pada 25 April 2008 setelah mendapat tahu abah berada di hospital. Aku sempat berbual dengan Abah, dia kelihatan agak letih namun dia cuba juga melayan sesiapa yang datang melawat.

Bagi aku Abah pergi tak diduga. Pada pagi 26 April, abah kelihatan agak pulih dan dijangka keluar daripada Hospital pada hari Ahad. Namun Allah lebih sayang pada Abah dan siapalah kita nak melawan ketetapan dan takdir Allah.

Abah... terima kasih di atas segala kesabaran dan penat lelah abah selama mendidik kami adik- beradik. Jika dahulu kita sekeluarga hidup susah, namun dengan kesabaran Abah dan Mak mendidik kami dan memberikan kesempatan untuk kami belajar setinggi yang mungkin, kita sekeluarga telah berjaya keluar dari zaman kesusahan. Segala nasihat dan amanat Abah tak akan kami lupakan dan akan kami pegang hingga akhir hayat.

"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa Abah, tempatkanlah Abah di kalangan para syuhada dan orang-orang yang beriman" AL-FATIHAH..



Wednesday, March 26, 2008

Langkawi 2007

Ini kali pertama nak cuba post untuk blog ni. Nak share sikit pengalaman kami bercuti di Langkawi sempena ulang tahun perkahwinan kami yang kedua. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan baik semasa kami tiba di Langkawi. Oh ya.. kami pergi ke Langkawi dengan menaiki pesawat AirAsia...mmmhhh dapat harga bagus dan murah sebab booking 2 bulan awal dari tarikh berlepas. Masa kat Langkawi sempat gak le berjalan dan melawat tempat-tempat yang menarik seperti Makam Mahsuri, Cable Car, Pekan Kuah, Pulau Dayang Bunting dan pulau-pulau berhampiran. Nak cerita banyak pun tak guna..memang seronok ...





Tahun ni kami merancang nak bercuti tapi masih belum decide nak ke mana. Harap tahun ni kami murah rezeki dan diberikan kesihatan oleh Allah SWT...amin..